21 OKTOBER 2024 | KUALA LUMPUR
OPERASI MEGA BERSEPADU PENGUATKUASAAN AKTA KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM 2024 (AKTA 852) DI SEKITAR KUALA LUMPUR
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) telah melakukan Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan seramai 133 pegawai daripada beberapa agensi iaitu JKWPKL&P, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Wilayah Tengah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Objektif utama operasi ini adalah bagi memperkenalkan Akta baru dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (Akta 852) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, disamping memperkenalkan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) iaitu aktiviti mengedar tembakau atau keluaran tembakau.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, YBhg. Dr. Noraisyah Abu Bakar, Pengarah Kesihatan JKWPKL&P dan YBhg. Datin Dr. Haliza Manaf, Timbalan Pengarah Kesihatan, Bahagian Kesihatan Awam JKWPKL&P.
LKTN giat melakukan aktiviti hebahan pelesenan tembakau kepada semua lapisan masyarakat dan memohon kerjasama terutamanya kepada peniaga supaya segera mendaftarkan lesen penjualan produk tembakau seperti rokok, cerut, dan lain-lain produk tembakau. Pendaftaran lesen boleh terus ke pautan Pelesenan LKTN dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Hotline Pelesenan LKTN Wilayah Tengah di talian (019-9347680).