GALERI INOVASI KENAF

Idea pembangunan kraftangan kenaf tercetus semasa delegasi Malaysia ke International Conference on Prospects of Jute & Kenaf as Natural Fibre di Bangladesh-China Friendship Conference Centre, Dhaka, Bangladesh pada 5 – 13 Februari 2009. Delegasi yang disertai oleh MPIC, LKTN dan UPM berpeluang berinteraksi bersama pengusaha jut dan mendapat pendedahan usaha pembangunan kraftangan di Bangladesh. Hasil dari lawatan tersebut, LKTN disarankan supaya mengambil langkah sewajarnya untuk mempromosikan kenaf antaranya memperkenalkan kraftangan kenaf sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bangladesh. Oleh yang demikian, Pusat Kraftangan LKTN diperkenalkan bagi merancang serta melaksanakan pembangunan produk kraftangan kenaf yang dilihat berpotensi bagi membantu penduduk luar bandar mendapat pendapatan tambahan di samping memperkenalkan serta mempromosikan kenaf dalam mencorak hala tuju industri kenaf yang masih baru dan mempunyai masa depan yang cerah.

Pada tahun 2014, LKTN telah menjenamakan semula Pusat Kraftangan ini dengan nama Galeri Inovasi Kenaf. Pemilihan nama baru ini adalah selaras dengan fungsi utama LKTN dalam menggalakkan pembangunan industri kenaf, pengawalan ke atas industri tembakau dan menjalankan lain-lain aktiviti ekonomi bagi membantu kumpulan sasar. Galeri Inovasi Kenaf LKTN akan diisi dengan produk-produk kenaf yang berkonsepkan aktiviti hiliran dan akan memainkan peranan untuk mempromosi, memperkenalkan dan memasarkan produk-produk kenaf yang dihasilkan. Sebanyak lapan (8) buah GIK telah ditubuhkan oleh LKTN dan mula beroperasi sebagaimana berikut:

GALERI INOVASI KENAF
Galeri Inovasi Kenaf Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan
Galeri Inovasi Kenaf Pasir Mas, Kelantan
Galeri Inovasi Kenaf Bachok, Kelantan
Galeri Inovasi Kenaf Ayer Chanal, Kelantan
Galeri Inovasi Kenaf Tembila, Besut, Terengganu
Galeri Inovasi Kenaf Bukit Katil, Melaka
Galeri Inovasi Kenaf Batu Bertangkup, Perlis
Galeri Inovasi Kenaf Selama, Perak