PEMBANGUNAN KENAF INTEGRATED PARK (KIP)

Projek perintis pembangunan Kenaf Integrated Park (KIP) di Lembah Chuping dan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Batu Bertangkup, Chuping, Perlis bertujuan menempatkan komponen rantaian pengeluaran kenaf secara bersepadu di bawah satu bumbung. Berkonsepkan Dari Ladang ke Pasaran (seeds to market), KIP merupakan pusat tumpuan menghubungkan keseluruhan aktiviti pengeluaran kenaf bermula dari penanaman kenaf (sektor huluan), pemprosesan hasil tanaman (sektor pertengahan) sehingga pengeluaran dan pemasaran produk berasaskan kenaf (sektor hiliran).

Tenaga kerja KIP merangkumi penanam kenaf pengeluaran fiber dan benih, usahawan dan pekerja pemprosesan kenaf Skim Kenaf untuk Rakyat (KUR), pekerja tapak pengeluaran fiber premium, pekerja kilang pulpa kenaf, usahawan dan pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) produk kenaf dan syarikat swasta bagi pemasaran produk berasaskan kenaf.